Sunday, July 25, 2010

Arowana: Malaysia kini merupakan pengeluar terbesar ikan hiasan dunia


KUALA LUMPUR 20 Nov. - Malaysia kini merupakan pengeluar terbesar ikan hiasan dunia apabila berjaya mencapai jumlah pengeluaran tahunan hampir 700 juta ikan berbanding 458 juta ikan pada 2005.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, pada masa ini, negara mensasarkan peningkatan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 860 juta ikan hiasan pada 2010, iaitu di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

Beliau berkata, setakat ini, negara telah menternak lebih 250 spesies, termasuk pelbagai jenis ikan eksotik untuk pasaran domestik dan dunia.

“Bagaimanapun, dalam pengeksportan ikan hiasan itu, Malaysia merupakan negara kedua terbesar apabila berjaya mengeksport hampir 100 juta ikan hiasan setahun,” katanya selepas merasmikan Aquafair Malaysia 2008, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain Mustapa berkata, kerajaan bakal melancarkan zon industri perikanan yang dikenali Prospektus Industri Zon Akuakultur (AIZs) yang bertujuan membangunkan infrastruktur dan sokongan perkhidmatan industri perikanan.

Katanya, kewujudan zon itu dijangka mampu menarik pelaburan berjumlah RM2 bilion dalam tempoh empat hingga lima tahun.

Beliau berkata, kementeriannya telah mengenalpasti tanah seluas 25,000 hektar di seluruh negara untuk menjayakan projek akuakultur itu.

“Kelulusan tanah bagi program-program AIZs adalah di bawah skop pihak berkuasa tempatan iaitu kerajaan negeri,” katanya.

Menurut Mustapa, setakat ini, 1,000 hektar tanah dan empat lokasi telah dikenalpasti bagi tujuan pembangunan yang berkaitan dengan AIZs khususnya bagi pusat penternakan ikan hiasan.

Katanya, cadangan mewujudkan zon akuakultur bagi ikan hiasan mampu menarik pelabur luar negara dan domestik.

No comments:

Post a Comment